 |
|
|
 |
| » Articles |
 |
 |
PILU LIHAT KEMUSNAHAN LEMBAH BELUM |
 |
Photo credit: KH Khoo / MNS |
18-04-2006
Utusan Malaysia
Oleh ANGELINA SINYANG (WARTAWAN UTUSAN)
BARU-BARU ini, Utusan Malaysia mendedahkan kemusnahan ekologi yang berlaku di hutan hujan tertua di dunia berusia 300 juta tahun, Lembah Belum-Temenggor akibat daripada aktiviti pembalakan tidak terkawal.
Cukup menyedihkan kerana hutan seluas 300,000 hektar yang menjadi tempat perlindungan kepada beratus-ratus spesies flora dan fauna, malah membekalkan air bersih dan oksigen kepada manusia didapati sudah 40 peratus gondol.
Tinjauan dan gambar-gambar dipaparkan sudah cukup menjelaskan betapa seriusnya masalah kemusnahan ekologi di Lembah Belum-Temenggor tetapi sehingga kini kerajaan negeri Perak yang bertanggungjawab terhadap hutan itu masih membisu seribu bahasa tanpa memberi sebarang komen.
Malah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali ketika diajukan soalan mengenai isu tersebut hanya berdiam diri dan enggan memberi sebarang ulasan. Tidak difahami adakah reaksi itu menunjukkan bahawa beliau belum bersedia untuk menjawab isu tersebut atau masih menunggu masa yang sesuai untuk memberi penerangan atau mungkin juga enggan memberi komen bagi mengelak kontroversi.
Apa pun, kita percaya Tajol Rosli selaku seorang pemimpin yang bijak dan sentiasa prihatin dengan nasib rakyat mempunyai alasan tersendiri apabila enggan mengulas isu tersebut. Namun sebagai rakyat yang cintakan alam sekitar, pasti anda tidak sampai hati membiarkan Lembah Belum-Temenggor yang terdiri daripada Taman Negeri Royal Belum dan Hutan Simpan Temenggor musnah begitu sahaja.
Biarpun menyedari Lembah Belum-Temenggor menyumbang pendapatan besar kepada ekonomi negeri Perak dari segi pembalakan tetapi alasan itu tidak wajar dijadikan ‘lesen'' untuk memusnahkan hutan di situ.
Seperti mana kata Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Pemuliharaan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Anthony Sebastian, ‘kita (MNS) tidak menghalang pembalakan di Lembah Belum-Temenggor tetapi pastikan ia dijalankan mengikut peraturan’. Anthony yang ditemui pemberita ketika membuat lawatan ke Lembah Belum-Temenggor baru-baru ini memberitahu, semua pembalakan di hutan itu dijalankan secara sah dan mendapat lesen daripada kerajaan negeri tetapi masalah timbul apabila tauke-tauke balak tidak mengikut prosedur yang ditetapkan. “Antara kesalahan sering dilakukan ialah tidak menanam pokok baru menggantikan pokok balak yang ditebang. Akibatnya, kawasan balak yang diteroka tinggal gondol begitu sahaja,'''' katanya. Laluan balak yang dibina juga terlalu hampir dengan tebing sungai dan akibatnya berlaku tanah runtuh. Runtuhan dan batang-batang balak yang tidak dibersihkan ini seterusnya menyebabkan pencemaran serta pemendapan.
Keindahan
Apabila air sungai menjadi cetek, timbul pula masalah lain kerana ia akan menyusahkan masyarakat Orang Asli yang menetap jauh di pedalaman dan pelancong yang mahu meneroka keindahan alam semula jadi di hutan itu.
Penduduk Orang Asli misalnya tidak boleh keluar membeli barang keperluan, menghantar anak-anak ke sekolah dan saudara-mara yang sakit ke hospital kerana bot tidak boleh bergerak jika air sungai cetek.
Aktiviti tradisi mereka seperti berburu juga semakin sukar kerana banyak binatang liar sudah lari jauh ke dalam hutan, begitu juga ikan-ikan yang semakin berkurangan akibat pencemaran sungai.
Justeru, tidak hairanlah Orang Asli yang sudah beratus tahun menetap di Lembah Belum-Temenggor mendesak kerajaan melakukan sesuatu untuk menyelamatkan tempat tinggal mereka. Apa yang menyedihkan, Taman Negeri Royal Belum yang sepatutnya diwartakan tiga tahun lalu sehingga kini belum lagi rasmi diberikan status tersebut, manakala Hutan Simpan Temenggor yang diklasifikasikan sebagai hutan simpan didapati tidak dilindungi sepenuhnya.
Isu mengenai Lembah Belum-Temenggor bukanlah baru pertama kali dibangkitkan tetapi sudah kerap didedahkan untuk perhatian pihak yang berkaitan tetapi bagaikan sudah terkena ubat pelali desakan media dan golongan pencinta alam langsung tidak diberi tindak balas. Jadi sebelum terlambat pihak yang dituding jari, segeralah lakukan sesuatu untuk menyelamatkan Lembah Belum-Temenggor. Tindakan pemuliharaan penting untuk mengekalkan kepelbagaian bio yang terdapat di hutan itu agar dapat diwarisi oleh anak cucu pada masa depan.
|
 |
| | | |
 |
|
 |